Deskripsi
Buku ini telah menonjolkan beberapa pendekatan praktikal termasuk pengurusan konflik secara damai melalui kaedah sulh, kefahaman yang tepat terhadap peranan suami isteri menurut perspektif Islam, serta langkah-langkah menangani isu sosioekonomi yang dihadapi oleh keluarga khususnya ketika krisis.
Dalam konteks ini, penting bagi setiap ahli keluarga memahami peranan masing-masing secara mendalam, disokong oleh pendidikan agama dan kesedaran sosial yang tinggi. Pembinaan resiliensi dalam keluarga bukan sahaja memerlukan kekuatan ekonomi tetapi juga keteguhan emosi, psikologi, dan spiritual. Usaha yang berterusan untuk meningkatkan literasi kewangan, mendidik ahli keluarga tentang pengurusan stres, serta menyediakan sistem sokongan yang kukuh di peringkat komuniti adalah amat diperlukan.
Justeru, institusi keluarga yang berdaya tahan dan resiliens merupakan kunci utama kepada pembinaan masyarakat yang sejahtera dan harmoni. Diharapkan, penerbitan buku ini dapat memberi manfaat besar dalam menyediakan panduan dan dorongan kepada pembaca untuk sama-sama mengukuhkan keluarga masing-masing. Semoga institusi keluarga di Malaysia akan terus bertahan, berkembang, dan mampu mengatasi sebarang krisis dan konflik yang dihadapi pada masa hadapan, sekaligus menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negara secara menyeluruh.
